Sunday 21 July 2013

PENGASAS SENI KAPI WARISAN MALAYSIA

Grand Master Seni Kapi Warisan Malaysia
Haja Mohaideen bin Haji Abu Backer

Haja Mohaideen Bin Hj. Abu Backer @ Master Haja, telah dilahirkan pada 19 Januari 1969 di Pulau Pinang, anak jati Pulau Mutiara ini begitu meminati ilmu seni mempertahankan diri. Beliau mula berkecimpung dalam seni mempertahankan diri sejak 1978. Mula bergiat aktif dalam menyertai dan mempelajari pelbagai jenis seni mempertahankan diri antaranya seperti :-

  1. Karate Budokan International 
  2. Silat Tapak Seratus 
  3. Silat Sabil Indera Sakti (Perak) 
  4. Silat Gegaran Petani 
  5. Perguruan Senjata 
  6. Silat Sendeng Merah (Kedah) 
  7. Ilmu Perubatan Kebatinan (Abdul Hamid Rashid) 
  8. Ilmu Tenaga Dalam (Bengkung Putih)

Bukan setakat seni silat ataupun karate yang dipelajari, keaktifan dalam seni beladiri itu terus membakar semangatnya untuk terus mendalami ilmu pertahanan diri dari negara matahari terbit, Jepun iaitu seni lawan pedang samurai. Ilmu pedang Samurai hidup dari falsafah gaya hidup yang mengamalkan adat dan adab, sikap hormat dan kesabaran, penumpuan, penghayatan dan ketepatan kerana itu ilmu tradisi ini dianggap unik dengan meningkatkan disiplin bagi membentuk seni bela diri yang dinamik.


Beliau sendiri amat cenderung untuk berlatih mempelajari seni pedang dengan asas-asas latihan dalam bentuk teori dan praktikal dengan begitu gigih dan berjaya menamatkan pengajian dengan menyandang tahap Talipinggang Hitam dalam Muso Jikiden Eishin-Ryu IAIDO, Mushin-Do Malaysia, Wado Japan dan Combat Miyama Ju-Jutsu.

Pada 28 Februari 1996, beliau telah diiktiraf oleh Masayuki Shimabukuro, Pengerusi, Jikishin-Kai International sebagai Ketua Jurulatih Malaysia dalam Seni Nippon Kobudo Jikishin-Kai International. Dengan pengiktirafan yang diterima adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk mengekalkan tahap tertinggi dalam Muso Jikiden Eishin-Ryu Iaijutsu di Malaysia. Selepas itu, Master Haja sekali lagi diiktiraf oleh Robert Ferguson, DIRECTOR RAPE AWARNESS AND PREVENTION ORGANIZATION dan melantiknya sebagai wakilnya yang sah di kawasan Asia.Pengiktirafan yang diberi atas pelaksanaan program-program kursus dan seminar kepada kaum wanita dalam usaha menangani masalah keganasan terhadap wanita, penderaan, gangguan seksual, rogol, diragut serta samseng jalanraya.

Pada 4 Julai 1996, Master Haja telah dilantik oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang sebagai Penasihat Wajadiri Negeri Pulau Pinang terhadap segala aktiviti-aktiviti wajadiri. Perlantikan beliau berdasarkan kepada pengalaman dan pengiktirafan yang telah beliau terima dari pertubuhan wajadiri Malaysia dan pertubuhan wajadiri Dunia.

Di samping itu beberapa penganugerahan dan penghargaan telah beliau terima. Pada 23 Disember 1996,beliau telah diberi ANUGERAH WAJADIRI oleh KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG kerana sumbangan beliau dalam program pembangunan wajadiri Negeri Pulau Pinang.

Pada 24 - 26 Oktober 1997, beliau mengambil bahagian sebagai Penceramah di Seminar Guru-Guru Silat Pahang dan telah diberi penghargaan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang Darul Makmur atas sumbangan tenaga dan fikiran dalam membantu membentuk satu organisasi Belia yang Mantap, Bermotivasi, Aktif dan Berdisplin.

Beliau menerima penghargaan sebagai Penggerak Wajadiri Negeri Pahang pada tahun 1998, mewakili Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia, Pahang oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang.

Sebagai seorang yang mempelajari dan mendalami seni mempertahankan diri, beliau telah mendapat pengiktirafan sebagai Ahli dari Pertubuhan Dunia dalam Japan Konu-Do Jikishin-Kai International, World Black Belt Bureau, World Self-Defense Federation, United Martial Artists Federation, Rape Awarness and Prevention Organization, The International Budo Association (IBA)-JUDAN (TEN DEGREE BLACK BELT) in the Martial Art of Musashi-Ryu (Ogos 24,2001).

Bukan setakat mempelajari bidang seni mempertahankan diri, malah ingin terus melibatkan diri dengan mempelajari dan mengikuti kursus-kursus dalam bidang perubatan. Memberi tumpuan dengan penuh ketekunan dan keyakinan apa yang dipelajari, ia memberi hasil dan telah berjaya dengan cemerlang. Pencapaian yang beliau terima ‘REIKI’- Holytics and Metaphysics, Pranic Healing Course-Institute.for Inner Studies,Inc- 2000, Advanced Pranic Healing Course-2000, Psychic Self-Defense-2001- Master Choa Kok Sui , Perubatan Alam dan Pengurutan Tradisional.

Master Haja berkepakaran dalam permainan Seni Senjata , Penceramah Bebas dan Motivasi ,Meditasi dan Falsafah Wajadiri , beliau bergiat aktif dalam memberi ceramah – ceramah dalam seminar, mengendalikan dan menganjurkan kursus-kursus semasa seni mempertahankan diri, membuka kelas-kelas latihan seni bela diri. Beliau juga dilantik sebagai Penasihat Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri bagi dalam dan luar negeri.

Beliau seorang pengkaji, semangat terhasil dari usia muda dan menyimpan wawasan tersendiri dalam mengembangkan seni beladiri. Namun pengorbanan masa untuk terus mengkaji seni beladiri tiada sempadan. Setiap langkah, gerak dan teknik yang dipelajari dalam Seni Mempertahankan Diri dapat membuahkan sesuatu yang positif demi meningkatkan ilmu pengetahuan yang tidak terbatas kepada satu-satu fahaman agar sistem pembelajarannya dapat disebarkan untuk semua.

Kecenderungannya yang amat tinggi dalam bidang Sains Sukan Seni Mempertahankan Diri menjadikan beliau sebagai PENGASAS kepada Akademi Wajadiri Malaysia, Guru Utama Perguruan Senaman Gerak Sentuhan, Muso Jikiden Eishin-Ryu Iaijutsu Malaysia, Pertubuhan Musashi-Ryu Malaysia, Presiden Pencinta Seni Tekpi Malaysia, PENGASAS Seni Kapi, Pengasas dan Presiden Pertubuhan Pendekar Malaysia dan Pertubuhan Bertanjak Malaysia, Penceramah Bebas & Motivasi (Pembangunan Seni Mempertahankan Diri).


No comments:

Post a Comment